Dec 24, 2010

Otak penipu sebenar - illusi optik


Salah satu fakta yang membuktikan bahawa otak andalah yang melihat dunia ini! Mata sekadar menjadi organ untuk mengesan cahaya dan menghantar isyarat elektrik di dalam bentuk 'impulse' ke otak, namun otak anda yang menentukan apakah rupa dunia ini mengikut persepsi otak. Sebuah gambar yang sama memberikan dua anggapan yang berbeza mengikut tafsiran otak - illusi optik

Mungkin kita biasa mendengar ungkapan "mata anda menipu anda". Namun otak lah penipu sebenar.
Baca artikel ini >>

Dec 22, 2010

Jadual berkala paling kecil dalam dunia



Para penyelidik telah menghasilkan sebuah jadual berkala (periodic table) yang dipercayai sebagai "Jadual Berkala paling kecil di dunia" yang ditulis di atas sehelai rambut manusia.

Pakar-pakar daripada Universiti Nottingham telah mencipta jadual berkenaan dengan saiz yang begitu kecil sehinggakan dipercayai sejuta salinan jadual berkala dengan saiz berkenaan dapat ditulis di atas nota Post-it standard menggunakan gabungan pecutan ion dan mikroskop elektron..

Simbol-simbol 118 unsur telah dilukiskan di atas sehelai rambut milik Professor Martyn Poliakoff, seorang pakar Kimia Hijau. Jadual tersebut kemudian diserahkan sebagai hadiah hari jadinya.



Laporan asal: Daily Mail
Baca artikel ini >>

Penyelidik Jepun ingin hasilkan tikus yang boleh bercakap seperti Mickey Mouse



Penyelidik Jepun telah berjaya menghasilkan seekor tikus yang telah mengalami pengubahsuaian genetiknya membolehkan ia berkicau seperti burung. Tikus tersebut telah dibenarkan penyiarannya oleh media hari ini.

Sekumpulan penyelidik di Universiti Osaka sedang membiakkan tikus-tikus yang sudah diubahsuai genetiknya agar melakukan kesilapan untuk menyalin maklumat DNA dan mampu menghasilkan proses mutasi.

Tikus "berkicau" ini telah dihasilkan sebagai sebahagian daripada "Evolved mouse project" yang dilakukan oleh mereka dan diharapkan ia akan memberi pemahaman kepada bidang penyelidikan tentang bagaimana perkembangan bahasa boleh berlaku.

"Mutasi adalah daya pemacu kepada evolusi. Kami telah mengkacukkan tikus-tikus yang telah mengalami perubahan genetik dari satu generasi ke satu generasi untuk melihat hasilnya" kata ketua penyelidik Arikuni Uchimura.

"Kami telah memeriksa satu persatu anak tikus yang baru dilahirkan, satu hari, kami telah menemui seekor tikus yang berkicau seperti burung" Katanya kepada AFP.

Beliau mendakwa bahawa "tikus berkicau" ini telah dilahirkan secara kebetulan, namun trait (sifat) ini akan diwariskan kepada generasi-generasi yang akan datang.

"Saya terkejut kerana saya menjangkakan tikus-tikus ini akan mengalami perbezaan dari segi rupa fizikalnya" menurutnya yang dihubungi melalui telefon.

makmal tersebut yang dipantau oleh proffesor Takeshi Yagi di Universiti Osaka di barat Japan kini memiliki lebih 100 ekor tikus yang mampu berkicau untuk penyelidikan lanjut.

Kumpulan penyelidik ini berharap mereka akan berjaya mencari klu tentang bagaimanakah perkembangan bahasa manusia boleh berlaku, seperti kajian lain yang dilakukan oleh negara lain terhadap burung untuk membantu mereka memahami asal usul bahasa manusia.

Menurut Uchimura, "Tikus lebih baik berbanding burung untuk dikaji memandangkan mereka adalah mamalia dan struktur otak serta aspek biologi lain mereka lebih hampir kepada manusia".

"Kami kini memerhatikan bagaimanakah seekor tikus yang mengeluarkan bunyi yang baru akan memberi kesan kepada tikus-tikus biasa di dalam kumpulan yang sama, dengan kata lain sekiranya ia mempunyai konotasi sosial" menurutnya, sambil menambah, tikus biasa selalunya akan mendecit terutamanya apabila mengalami stress.

Uchimura berkata decitan mereka "mungkin sejenis luahan tentang perasaan atau keadaan badannya"

Kumpulan penyelidik ini mendapati bahawa tikus-tikus yang membesar dengan 'tikus berkicau' memancarkan decitan ultrasound yang lebih rendah berbanding yang lain-lain. Ia mungkin membawa maksud, kaedah-kaedah komunikasi boleh tersebar di dalam sebuah kumpulan yang sama seperti dialek.

Uchimura mengimpikan evolusi lanjut tikus-tikus ini melalui kejuruteraan genetik. "saya tahu ia merupakan jalan yang panjang dan orang akan mengatakan ianya 'terlalu tidak masuk akal' namun saya melakukan ini dengan harapan untuk menghasilkan seekor Mickey Mouse suatu hari nanti" katanya.


Sumber: Dailymail
Baca artikel ini >>

Dec 14, 2010

Matahari terbit dari barat sebelum atau semasa kiamat?


Dalam artikel lalu, yang bertajuk "Bagaimana manusia menjadi penyebab gempa bumi?" telah digambarkan serba sedikit secara tidak langsung tentang salah satu tanda besar kiamat iaitu wujudnya banyak bangunan-bangunan pencakar langit. Dari sudut saintifik, jelas sekali logik akal kita boleh menerima kaitan bagaimana bangunan pencakar langit ini akan menyumbang kepada kejadian kiamat itu sendiri, maka wajarlah ia menjadi salah satu tanda kecil kiamat.

Satu lagi ialah tanda besar kiamat yang biasa kita dengar sejak kecil lagi iaitu "matahari terbit dari barat". Pelbagai teori sains dicadangkan oleh para penyelidik dari barat untuk menerangkan bagaimana fenomena ini boleh berlaku. Pada asasnya teori para penyelidik ini tertumpu kepada penerangan tentang putaran bumi yang dikatakan akan menjadi berlawanan dengan arah putaran normalnya. Dengan kata lain, jika sekarang ini bumi berputar mengikut arah lawan jam, maka di hari apabila dunia ini sudah menghampiri kiamat nanti, bumi akan berputar terbalik iaitu mengikut arah pusingan jam.

Setakat ini, sepanjang pengetahuan penulis, teori perubahan putaran bumi inilah yang menjadi asas yang paling logik untuk diterima akal bagi menerangkan bagaimana fenomena matahari terbit dari barat boleh berlaku. Maka tugas penyelidik lebih terdorong kepada untuk mencari apakah kejadian-kejadian yang mungkin boleh menyebabkan bumi berputar secara terbalik? Justeru itu timbullah teori pelanggaran bumi dengan planet, teori bumi menghampiri matahari, dan sebagainya yang menyebabkan arah pusingan bumi menjadi terbalik lantas mewujudkan fenomena matahari terbit daripada barat.

Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah saw bersabda,
Kiamat tidak datang sehingga matahari terbit dari barat. Jika manusia melihatnya maka mereka semua beriman.”

Dalam riwayat lain,

Jika matahari telah terbit dari arah barat dan orang-orang melihatnya, maka mereka semua beriman. Pada saat itu iman seseorang tidak lagi berguna untuk dirinya selama dia belum beriman sebelumnya atau memperoleh kebaikan dalam imannya.
[HR. al-Bukhari 7/190 dan Muslim nombor 157]

Kalau dilihat pada hadis yang kedua di atas kelihatan pelik bukan? Apabila orang-orang melihat kejadian matahari terbit dari barat, maka semua orang akan beriman. Tetapi Rasulullah bayangkan iman pada masa itu sudah tidak lagi berguna mengapa? Mari kita gunakan logik akal untuk menjawab persoalan ini.

Kali ini saya masih lagi menggunakan fakta sains sekolah menengah, di bawah topik 'inertia' di Tingkatan 4 kalau tak silap. Namun melalui pengalaman sahaja pun sudah cukup untuk anda memahami konsep yang diterangkan di sini. Anda juga masih boleh merujuk artikel-artikel lalu untuk lebih memahami penerangan ini.

Pemahaman tentang 'inertia'

Bayangkan ketika anda menaikki sebuah kereta dengan kelajuan 80 km per jam. Adakah anda menyedari bahawa kereta anda bergerak selaju itu? Jawapannya tidak, kecuali anda memandang pergerakkan bangunan, pokok-pokok, jalan dan lain-lain yang ditinggalkan oleh kereta anda. Malah sekiranya kereta anda bergerak selaju 180 km per jam juga, anda tidak akan menyedarinya kerana badan anda turut bergerak bersama-sama kecuali anda memandang ke luar kereta. barulah anda sedar bahawa kereta anda bergerak begitu laju.

Bagaimana pula sekiranya kereta yang anda pandu dengan kelajuan 80 km per jam ini tiba-tiba berhenti? Apa akan jadi kepada anda? Tentu sekali anda akan tercampak keluar dari kereta. Bagaimana pula kalau 100 kmj? 120 kmj? 300kmj? Semakin laju kenderaan yang anda pandu semakin teruk kesannya apabila ia tiba-tiba berhenti.

Contoh-contoh boleh dilihat semasa berlakunya kemalangan sungguh dahsyat bukan? Kerana itulah kerajaan Malaysia dan juga mana-mana negara menggalakkan malah mewajibkan pemandu mengenakan tali pinggang keselamatan (seat belt) bagi mengelakkan anda tercampak, atau terhumban keluar dari kereta apabila berlakunya kemalangan.

Sekarang cuba anda bayangkan, bumi yang kita diami ini membuat putaran dengan kelajuan lebih dari 1000 kmj setiap saat tanpa henti dan tanpa kita sedari dengan membawa manusia, haiwan, bangunan-bangunan, malah gunung ganang dan lautan bersamanya. Apakah akan terjadi sekiranya bumi ini tiba-tiba berhenti? Betapa dahsyatnya fenomena tersebut bukan? Malah untuk membolehkan matahari terbit dari barat, lebih dahsyat lagi ia akan melakukan putaran berlawanan! Melawan arah putarannya yang normal! Berhenti sahaja sudah cukup dahsyat, apatah lagi berpatah balik!

Apabila berlakunya peristiwa ini (matahari terbit dari barat), nescaya semua manusia akan sedar bahawa janji Allah itu adalah janji yang benar! Al-Quran itu benar! Muhammad itu benar! Namun jelas sekali tiada gunanya iman pada masa itu kerana dunia ini sudah kiamat! Jelas sekali peristiwa yang dikatakan sebagai tanda besar kiamat ini berlaku semasa kiamat!

Hadis ini juga dilihat selari dengan sepotong ayat di dalam Al-Quran,

Pada hari datangnya sebagian tanda-tanda Tuhanmu tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman sebelumnya atau dia belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.”
[Al-An’am: 158].

Di dalam artikel-artikel yang akan datang saya akan kupas pula tentang fenomena apa yang akan menyebabkan bumi boleh berputar melawan arah putaran normalnya.

Wallahua'lam.
Baca artikel ini >>

Kucing cerdik cegah kebakaran rumah!

Seekor kucing yang cerdik telah dinobatkan sebagai 'hero' selepas berjaya mencegah kebakaran rumah tuannya dengan cara membuka sebuah tingkap.

Kucing berusia 5 tahun itu, Pepper sememangnya tahu bagaimana untuk membuka tingkap bagi meloloskan diri untuk keluar pada saat tertentu yang diperlukannya. Kucing cerdik ini akan melompat ke tingkap dari atas dapur lantas dengan menggunakan kukunya, ia mampu memusingkan kunci (selak) tingkap.

Kebakaran kecil berlaku di saat tuan rumah keluar berbelanja untuk menyambut Christmas, mujurlah kucing bijak ini segera melompat untuk membuka tingkap membenarkan asap berbau 'sengit' terbebas dari dalam rumah tuannya yang kedap udara itu.

Kepulan asap berbau sengit dan debu mengejutkan jiran-jiran tetangga yang berhampiran lantas memanggil bomba. Sejurus kemudian, pihak bomba telah berjaya memadamkan kebakaran sebelum ianya merebak ke rumah-rumah yang lain.

Pemilik rumah, Sharon White berkata, "Kali pertama kucingnya menunjukkan kebolehan (membuka tingkap) pada satu parti jamuan makan malam, semua orang memberi tepukan gemuruh, saya rasa ia telah merangsangnya".

"Ia juga boleh melompat masuk semula melalui lubang tingkap yang sama dengan cara melompat secara melintang ke atas birai, maka dia boleh keluar dan masuk sesuka hatinya"

"Pepper masih lagi sedikit trauma akibat kenangan pahit itu, namun ia tetap makan dengan banyak."

Sharon dan suaminya Phil, seorang Radiologist di Hospital Torbay, Devon menerima Pepper lebih 4 tahun lepas daripada seorang jiran yang sudah tidak mampu untuk membelanya.

Laporan asal: Dailymail
Baca artikel ini >>

Dec 13, 2010

Nombor dan huruf kecil ditemui dalam mata Monalisa


Ahli pengkaji sejarah seni kini sedang menyiasat misteri disebalik 'Da Vinci Code' yang sebenar selepas mereka menemui nombor-nombor dan huruf-huruf yang dilukiskan di dalam mata pada lukisan Monalisa yang sukar difahami (enigmatic).

Hasil karya Agung berusia 500 tahun yang dihasilkan oleh Leonardo Da Vinci itu telah sekian lama menjadi misteri sehingga ke hari ini, identiti wanita dengan senyuman menggoda itu langsung tidak dapat disahkan dengan tepat.

Lukisan itu juga telah dimuatkan di dalam Dan Brown blockbuster The Da Vinci Code, yang telah ditayangkan menjadi sebuah filem lakonan Tom Hanks, di mana wataknya sebagai orang yang mentafsirkan mesej-mesej rahsia yang tersembunyi di dalam lukisan Monalisa dan hasil-hasil kerja lain oleh Da Vinci termasuklah The Last Supper.



Kini Jawatankuasa Warisan Budaya Itali telah mendedahkan bahawa dengan membesarkan image yang memiliki resolusi tinggi maka nombor dan huruf pada lukisan mata Monalisa dapat dilihat.

Hari ini Silvano Vinceti, presiden jawatankuasa tersebut berkata: 'Pada pandangan kasar, simbol-simbol tersebut tidak kelihatan namun dengan menggunakan kanta pembesar ia boleh dilihat dengan jelas'

Pada mata kanannya muncul huruf-huruf LV yang mungkin boleh difahami sebagai nama pelukisnya Leonardo Da Vinci sementara pada mata kirinya juga terdapat simbol-simbol namun tidak begitu jelas pengertiannya.

Sangat sukar untuk menentukan simbol tersebut secara jelas namun ia kelihatan seperti huruf-huruf CE atau mungkin juga huruf B - anda harus sedar bahawa lukisan ini sudah berusia hampir 500 tahun, maka ia tidak akan setajam dan sejelas seperti semasa ia mula-mula dilukiskan.

"Manakal pada lengkungan jambatan di latar belakang boleh dilihat nombor 72 atau ia mungkin huruf L dan nombor 2."

Mr Vinceti, yang telah berlepas ke Paris untuk memeriksa lukisan di galeri Louvre di mana ia dipamerkan, menjelaskan bahawa di dalam siasatan ala Dan Brown yang sebenar, hal ini mula menjadi misteri apabila salah seorang anggota jawatankuasa rakan Luigi Borgia menemui senaskah buku lama yang berhabuk di sebuah kedai antik.

Buku berusia 50 tahun itu menggambarkan bagaimana mata Mona Lisa penuh dengan pelbagai tanda dan simbol-simbol dan dia menambah: 'Kami masih di awal penyiasatan ini dan kami berharap akan dapat mengorek lebih dalam terhadap misteri ini dan mendedahkan butir-butir lanjut secepat mungkin.

'Sungguh menakjubkan apabila tiada seorang pun menyedari simbol-simbol tersebut sebelum ini dan berdasarkan siasatan awal yang dijalankan kami yakin ini bukan satu kesilapan dan ia simbol-simbol ini sememangnya telah diletakkan dengan sengaja oleh pelukis'.

Mr Vinceti, merupakan sebahagian daripada kumpulan yang meminta pihak berkuasa Perancis bagi memohon kebenaran untuk mengorek jasad Da Vinci dari kuburnya dalam Istana Amboise, yang terletak di Loire Valley.

Mereka mahu melihat sama ada tengkorak pelukis masih ada di siru supaya mereka boleh cuba untuk membina semula gambaran wajahnya dan membandingkan sama ada Mona Lisa adalah potret wajah pelukis itu sendiri seperti yang dipercayai oleh orang ramai.

Segelintir pengkaji sejarah percaya bahawa Da Vinci merupakan seorang homoseksual dan dan suka berteka-teki menyebabkan ia melukis gambar dirinya sendiri sebagai seorang wanita sementara teori lain menyatakan sesungguhnya Monalisa adalah Lisa Gheradini, isteri kepada saudagar atau mungkin juga adalah ibu pelukis itu sendiri.

Enam bulan lalu, kisah Encik Vinceti termuat di tajuk-tajuk utama akhbar apabila beliau menemui tulang belulang pelukis zaman Renaissance Michelangelo Merisi, yang juga dikenali sebagai Caravaggio di Porto Ercole di persisir pantai Tuscan Italy.

Diterjemah secara sambil lewa dari : Dailymail
Baca artikel ini >>

Serangga sudah lama gunakan teknologi tenaga solar


Para penyelidik baru sahaja menemui bahawa sejenis serangga tabuan (Oriental hornet) mempunyai satu kebolehan unik untuk menggunakan sumber tenaga daripada matahari (tenaga solar).

Spesies penyengat besar ini memiliki struktur istimewa di dalam perutnya yang bertindak sebagai pemerangkap sinaran matahari, dan sejenis pigmen-pigmen yang boleh menukarkan tenaga yang diperolehinya.

Penemuan ini membantu di dalam menjelaskan mengapakah tebuan-tebuan ini memiliki satu garisan belang kuning yang tebal di badannya, dan mengapakah ia menjadi lebih aktif di siang hari terutama ketika cuaca panas (keamatan cahaya yang tinggi).

Ia juga akan mengubah pemahaman kita tentang bagaimanakah sistem metabolisma serangga berfungsi?

Penemuan ini telah dilaporkan di dalam sebuah jurnal sains Naturwissenschaften, yang dihasilkan oleh sepasukan penyelidik yang menjalankan kajian di Israel dan UK, diketuai oleh Dr Marian Plotkin dari Universiti Tel-Aviv.

Penyengat-penyengat biasanya paling aktif pada awal pagi, ia dilihat dua kali lebih aktif berbanding waktu-waktu lain di hari siang.

Tebuan Oriental, Vespa orientalis, dilihat lebih aktif di waktu tengah hari.

Penyelidik juga telah lama memperhatikan bahawa tebuan pekerja dari kalangan jenis Oriental, yang menggali lubang untuk membuat sarang di bawah tanah, memiliki kadar aktiviti menggali yang berkadar langsung dengan keamatan cahaya dari matahari.

Tebuan yang sekecil ini rupanya sudah lama menggunakan teknologi canggih untuk menjana tenaga daripada tenaga solar lebih awal sebelum manusia mengetahuinya. Saintis atau penyelidik manakah yang memasang teknologi ini pada perut tebuan?



Laporan asal: BBC - Earth News
Baca artikel ini >>

Bagaimanakah manusia menjadi penyebab gempa bumi?


Sejak kebelakangan ini sering kali kita dengar berita di kaca televisyen, di dada-dada akhbar dan di corong-corong radio tentang kejadian gempa bumi yang berlaku di serata dunia. Ada gempa bumi yang besar yang mampu mengakibatkan kerosakan dan korban yang teruk, ada juga gempa kecil yang tidak menggugat harta benda dan nyawa manusia.

Sering kali kita mendakwa bahawa gempa bumi ini adalah merupakan satu fenomena alam yang tidak dapat dielakkan, ia merupakan satu proses keseimbangan yang terjadi pada alam semulajadi. Benarkah manusia tiada kaitan dengan fenomena alam seperti gempa bumi ini? Atau sebenarnya manusialah penyebab gempa bumi berlaku?

Di dalam menjawab persoalan ini, saya sekadar menggunakan pengetahuan fizik yang ringkas lagi mudah difahami dengan mengabaikan pelbagai pemboleh ubah yang menjadi faktor, diharap para pembaca dari kalangan cendiakawan fizik di luar sana menyedari hal ini sekiranya ingin mengeluarkan hujah atau menyangkal artikel ini.

Bagaimana alam melakukan proses keseimbangannya?

Tentu sekali ramai para pembaca yang memiliki mesen basuh di rumah bukan? Untuk mesen basuh model lama, atau yang konvensional, biasanya dilengkapi dengan sistem pengering untuk mengeringkan pakaian. Sistem pengeringan ini menggunakan kaedah putaran untuk menyingkirkan air yang berat keluar dari pakaian yang dikeringkan.

Perhatikan semasa anda mula menekan suis untuk memulakan proses pengeringan pakaian. Alat pengering ini akan berbunyi bising pada mulanya menandakan ia mula berpusing. Namun lama kelamaan bunyi bising ini akan beransur-ansur hilang dan akhirnya tidak kedengaran kuat lagi seperti sebelumnya.

Apakah yang berlaku? Pada mulanya pusingan alat pengering anda adalah tidak stabil berikutan terdapat pakaian di dalam alat pengering itu yang tidak berada pada kedudukan yang baik bagi memberikan keseimbangan terhadap pusingan mesen anda. Ini membuatkan alat pengering ini bergoncang, kadang kalanya menghentam dinding ruangan dalam mesen basuh anda dan menghasilkan bunyi bising.

Hilangnya bunyi bising menandakan keseimbangan telah tercapai, maka boleh dikatakan pakaian anda berada di dalam keadaan yang seimbang bagi membolehkan putaran alat pengering menjadi lebih stabil. Sungguh pun masih terdapat getaran kecil, namun ia sudah dikira stabil untuk melakukan putaran. Ini adalah sifat semula jadi yang berlaku terhadap objek yang berputar di dalam memperolehi kestabilannya.

Inilah gambarannya kepada bumi yang kita diami ini, ia tidak pernah berhenti berputar setiap saat, 24 jam sehari, 7 hari seminggu sejak ia mula wujud kira-kira 4.54 bilion tahun dahulu dengan kelajuan kira-kira 1000 batu per jam. Bagaikan sebiji bola yang berputar laju setiap saat dalam keadaan tergantung di angkasa, ibarat sebiji gasing yang sedang berputar, apa akan jadi sekiranya tiba-tiba segumpal tanah melekat pada sebahagian permukaan gasing itu? Tentu putarannya akan terganggu bukan? Getaran pada putaran ini adalah untuk kembali menyeimbangi kestabilan putarannya. Inilah gambaran proses keseimbangan yang berlaku pada bumi yang kita diami ini.

Lihatlah betapa lajunya putaran bumi dan betapa mudahnya ia bergoncang sekiranya putarannya terganggu? Namun begitu, terima kasih di atas kewujudan gunung ganang yang berfungsi sebagai pengimbang kepada putaran bumi, agar ia terus stabil melakukan putarannya.

Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh supaya bumi itu (tidak ) bergoncang bersama mereka, dan telah Kami jadikan di bumi itu jalan-jalan yang luas agar mereka mendapat petunjuk. [Surah al-Anbiya: 31]

Namun begitu, lihatlah tangan-tangan manusia, bagaimana mereka mengubah rupa bentuk bumi ini? Kononnya demi pembangunan, mereka mendirikan bangunan pencakar langit yang tinggi-tinggi, meratakan bukit-bukit, memindahkan tanah-tanah dan sebagainya. Secara kolektif tidakkah perbuatan ini mengganggu kestabilan putaran bumi?

Maka demi mencapai keseimbangannya, proses keseimbangan berlaku di permukaan bumi untuk menyeimbangi perubahan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia dalam bentuk gegaran demi gegaran dan gempa bumi untuk meratakan kembali atau menstabilkan kembali keadaan muka bumi ini seperti sediakala.


Wajarlah dikatakan bahawa salah satu tanda-tanda kecil kiamat adalah wujudnya banyak bangunan-bangunan pencakar langit yang sebenarnya menyumbang kepada berlakunya kiamat itu sendiri. Jelas di sini, tangan-tangan manusia sendiri yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Malah wajar juga difikirkan bahawa tangan-tangan manusia itu sendiri yang akan menghancurkan dunia ini sekaligus penyebab datangnya hari kiamat.

“Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia,supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Surah ar-Rum: 41].
Baca artikel ini >>

Dec 12, 2010

Pakar genetik baru menyedari orang yang disangka kakak, adalah ibu kandungnya

Sepanjang hayatnya, Professor Sir Paul Nurse sedar bahawa dirinya amat berbeza berbanding ahli keluarganya yang lain. Dia bukan sahaja dilahirkan begitu lewat berbanding tiga adik beradiknya yang lain, malah hanya dia seorang sahaja yang cemerlang di dalam bidang akademik.

Di awal umurnya, minatnya begitu mendalam di dalam bidang sains kajian sifat, satu bidang yang tiada langsung kaitan dengan sama ada ayahnya, seorang mekanik di Kilang Makanan Heinz di Neasden, barat laut London, mahupun ibunya, seorang pekerja sambilan sebagai cleaner.

Tenggelam dengan keghairahannya semasa kecil, dia selalu menghabiskan masa di taman sambil memikirkan mengapakah daun pokok-pokok yang tumbuh di tempat redup lebih besar berbanding di tempat cerah? Semasa Sputnik 2 dilancarkan ke orbit di dalam tahun 1957, dia berdiri tidak berganjak di sebuah taman berdekatan rumah keluarganya, sambil memerhatikan Satelit kedua milik Soviet Union itu berlepas melintasi langit. Sepanjang dia membesar, dia selalu ghairah memikirkan secara logik, dari manakah asal benda-benda di sekelilingnya?

Sungguh mengejutkan sekali rupanya Sir Paul ini lebih tertarik terhadap keganjilan kepada genetiknya sendiri berbanding yang lain-lain. Sebagai seorang pemenang Anugerah Nobel bidang genetik yang juga baru menjawat jawatan sebuah badan diraja, tugasnya adalah untuk mencari dan mengkaji bagi memahami peranan yang dimainkan oleh DNA.

Namun secara tidak sengaja tiga tahun lepas dia menyedari bawaha dirinya telah ditipu berkenaan dengan hal sebenar genetiknya sendiri.

"Saya sentiasa berminat dengan genetik saya sendiri kerana sayalah satu-satunya ahli keluarga yang ganjil berbanding yang lain. Walaupun saya seorang pakar genetik, namun ahli keluarga berjaya menyembunyikan rahsia genetik saya selama lebih setengah abad" Katanya sambil tersenyum sinis.

Pendedahan itu bermula apabila Sir Paul, kini berumur 61, memohon kad hijau daripada US Department of Homeland Security yang akan membolehkannya menetap di US. Semasa dia menetap di Amerika selama 3 tahun dan juga menjawat jawatan sebagai presiden di New York’s Rockefeller University, permohonannya tidak diluluskan membuatkannya terkejut. Dia diberitahu bahawa terdapat masaalah pada sijil lahirnya berbentuk ringkas yang mana didapati tidak mengandungi nama ibu bapanya. Maka dia mula memohon sijil lahir penuh.

Hal ini akhirnya mendedahkan bahawa orang yang selama ini dipanggil kakak di dalam keluarganya merupakan ibu kandungnya sendiri, manakala orang yang selama ini disangka adalah ibu bapa sebenarnya adalah datuk dan neneknya. Makcik Paul mendedahkan bahawa pada tahun 1948, ibunya telah mengandungkannya dan melahirkannya. Demi mengelakkan keluarganya mendapat malu besar, maka datuk dan neneknya memelihara Paul seperti anak kandungnya sendiri.

Sumber asal : Dailymail
Baca artikel ini >>

Dec 11, 2010

Benih suami atau isteri yang menentukan jantina bayi?

Artikel ini mungkin memberikan sedikit panduan kepada pembaca di luar sana sama ada yang sudah berkahwin mahupun belum. Kali ini saya ingin membincangkan tentang kejadian jantina bayi di dalam rahim ibu. Tentu sesekali anda pernah terfikir, benih suami ataupun isteri yang menentukan jantina bayi? Dan saat bilakah ia ditentukan?

Melalui ilmu genetik, ilmu sains moden telah menjelaskan tentang penentuan jantina bayi hasil kajian benih manusia. Saya kira semua pembaca dapat memahami konsep sains di dalam artikel ini kerana saya sekadar menggunakan ilmu sains Sekolah Menengah iaitu di dalam sukatan mata pelajaran sains di bawah topik Persenyawaan dan Pembiakan yang diajarkan sewaktu Tingkatan 3.

Sel-sel pembiakan lelaki dan wanita

Terdapat 2 jenis sel pembiakan (sperma) bagi lelaki. Dua jenis sperma ini dihasilkan di organ pembiakan lelaki membawa 2 jenis faktor genetik yang digelar X ataupun Y. Setiap sperma ini hanya membawa satu jenis faktor penentuan jantina iaitu sama ada X ataupun Y.


Manakala sel pembiakan wanita (ovum) pula, hanya memiliki satu jenis faktor penentuan jantina iaitu digelar faktor X. Inilah satu-satunya benih yang dihasilkan di dalam sistem pembiakan wanita.


Semasa proses persenyawaan, jutaan sperma dari lelaki yang terdiri daripada sperma-sperma yang membawa faktor X atau faktor Y masing-masing akan menghampiri ovum untuk menjalani proses seterusnya dan menghasilkan bayi. Di dalam proses persenyawaan yang normal, hanya satu daripada jutaan sperma-sperma ini yang akan berjaya menembusi ovum dan terpilih sebagai sperma paling kuat 'strong' untuk disenyawakan dengan ovum.

Maka faktor Y atau X daripada benih lelaki akan bergabung dengan satu-satunya faktor X yang terdapat pada benih perempuan. Sekiranya faktor Y dari sperma yang bergabung dengan faktor X pada ovum, maka kelak bayi lelaki akan terhasil dengan gabungan XY ini. Sebaliknya bayi perempuan akan terhasil dengan gabungan XX.

Penjelasan ringkas ini menunjukkan bukti bahawa jantina bayi sama ada lelaki mahupun perempuan adalah ditentukan oleh benih yang dipancarkan dari lelaki. Ini kerana benih yang dipancarkan ini menawarkan pilihan sama ada faktor X atau faktor Y untuk bergabung dan disenyawakan di dalam ovum yang hanya menyediakan faktor X. Sebaliknya ovum hanya menunggu benih yang dipancarkan sebelum jantina bayi dapat ditentukan.

Satu lagi pengertian dari penjelasan ini ialah, jelas sekali di sini, jantina bayi manusia ditentukan semasa benih dipancarkan iaitu bergantung kepada sperma sama ada membawa faktor X atau Y.

Teringat saya kepada kata-kata pensyarah semasa mempelajari subjek genetik di semester satu di universiti dahulu, "For those husbands-to-be, dont ever blame your wife for undesired sexs of your babies!".

Bertitik tolak dari bapa ilmu genetik dunia, Johan Greagor Mendel, terima kasih kepada kemajuan ilmu genetik dan sains moden, dengan adanya microskop elektron yang berharga jutaan ringgit ditambah dengan para penyelidik yang sanggup menghabiskan masa serta puluhan ribu ringgit untuk melanjutkan pelajaran ke universiti maka struktur kromosom yang membawa faktor X dan Y dapat dikaji dengan teliti bagi mengesahkan bahawa suamilah yang menentukan jantina bayi hasil perkongsian hidup di dalam sesebuah perkahwinan.


Namun apa yang menarik di sini, tanpa mikroskop elektron, tanpa ilmu genetik moden, tanpa rujukan dan bimbingan daripada ilmuan yang bijak pandai. Junjungan besar nabi kita Rasulullah S.A.W yang tidak pandai membaca (ummi') telah menjelaskan tentang konsep penentuan jantina ini di dalam sepotong ayat ringkas dari Al-Quran secara tepat dan padat.

“Dan Dialah (Allah) yang menciptakan pasangan-pasangan lelaki dan perempuan (jantan dan betina) daripada nutfah (benih) sewaktu ianya dipancarkan
[Surah An-Najm 53:45-46]


Di sini saya ingin melanjutkan lagi pemahaman ini kepada tambahan sistem penentuan jantina untuk organisma-organisma yang lain. Sebagai contoh selain sistem XY pada manusia, terdapat system ZW pada burung, sistem haplo-diploid pada lebah dan sistem X-O pada serangga tertentu di dalam menentukan jantina generasi organisma-organisma tadi. Setiap satu daripada sistem-sistem ini mempunyai konsep yang serupa dengan system XY pada manusia iaitu jantina anak adalah ditentukan oleh 'benih yang dipancarkan'.

Anda boleh dengan mudah mengesahkan fakta menakjubkan ini melalui rujukan kepada pelbagai buku-buku genetik. Adalah jelas bahawa Al-Quran adalah firman Pencipta. Fakta ini telah berada di dalam Al-Quran semenjak 1400 tahun dahulu, sebelum Bapa Genetik Greggor Johann Mendel melalui penemuan istimewanya telah mempelopori pengetahuan Genetik kita hari ini.

Rujukan: GENETICS analysis and principles by ROBERT J.BROOKER page 64
Baca artikel ini >>

Dec 10, 2010

Naluri satu anugerah untuk si anak kucing yang comel


Di dalam artikel yang lalu bertajuk, "Kupu-kupu yang pandai menipu" telah dijelaskan serba sedikit bagaimana naluri yang hadir pada kupu-kupu telah menyelamatkan nyawanya dari menjadi mangsa seekor kucing. Maka jelaslah bahawa ada kuasa luar biasa yang mengaturkan semua ini.

Kali ini saya ingin mengajak anda berfikir sejenak tentang haiwan yang biasa ada di rumah-rumah kita. Haiwan manja, comel dan jinak yang juga merupakan kesayangan junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W.

Perhatikan setiap anak kucing yang lahir ke dunia ini dilahirkan di dalam keadaan yang lemah, kurang tenaga untuk bergerak. Barangkali sukar untuknya meneruskan hidup tanpa 'naluri' yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Bagaimana 'naluri' memberikan daya hidup kepada anak kucing yang lemah ini?

Anak kucing yang dilahirkan ke dunia ini bukan sahaja kurang tenaga dan lemah tidak berdaya, malah kurang juga daya penglihatannya. Malah boleh dikatakan setiap anak kucing comel ini dilahirkan di dalam keadaan buta tidak dapat melihat (lihat gambar di atas). Anak kucing ini akan memperoleh penglihatannya secara perlahan-lahan selepas beberapa hari.

Anak kucing yang beru dilahirkan, berkeadaan buta. Matanya akan terbuka perlahan-lahan selepas beberapa hari. Namun apa yang menjadi tanda tanya kepada kita, bagaimana ia boleh menyusu? Bagaimanakah ia boleh menghisap susu ibunya sejak dari hari pertama ia ke dunia sedangkan matanya buta?


Bayangkan sahaja bagaimana anak-anak kucing yang comel ini mampu mengesan di mana kedudukan susu ibunya tanpa diajar oleh sesiapa! Hebat bukan? Adakah akal yang rasional bersetuju sekiranya dikatakan bahawa ibunyalah yang mengajar anak-anak kucing ini menyusu? Tidak bukan? Tiada sesiapa yang mengajarnya.

Bukankah hari kelahirannya ini adalah hari pertama anak-anak kucing yang comel ini di muka bumi? Inilah pengalaman pertama ia menjejakkan kaki di muka bumi dalam keadaan buta, malah ia tidak pernah sekalipun menemui susu ibunya sewaktu di dalam rahim ibunya. Tiada siapa yang mengajarnya mengenal rupa susu ibunya (breast) semasa di dalam kandungan dan tiada siapa yang mengajarnya keperluan meminum susu agar sihat dan kuat (macam iklan susu dalam tv tu) kerana tiada sekolah di sana.

Di dalam ilmu sains, ada menjelaskan fenomena ini. Ilmu sains menjelaskan bahawa ia merupakan satu tindakan refleks atau disebut 'naluri' semulajadi haiwan untuk terus hidup. Lihatlah tuan-tuan para pembaca yang saya hormati sekalian, ilmu sains tidak dapat menjelaskan dari mana datangnya this so called 'naluri' atau 'instinct' yang memberikan daya hidup kepada anak kucing yang comel ini. Namun sebenarnya, kuasa yang memberikan naluri ini adalah dari kuasa Sang Pencipta. Inilah salah satu tanda adanya Pencipta.

Pencipta ini juga telah memberikan 'hint' agar kita mencari tanda-tanda kewujudannya pada alam ini baik di langit dan di bumi.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal [Ali-Imran: 190]

Sekian, semoga ada manfaat.
Baca artikel ini >>

Pasangan Gay kini boleh melahirkan anak sendiri?

Penyelidik kini telah berjaya menghasilkan tikus makmal yang memiliki dua ayah, lantaran itu ia dilihat dapat meningkatkan kebarangkalian untuk pasangan gay mendapatkan anak-anak yang terhasil dari gabungan gen / baka mereka sendiri.

Di dalam satu ujikaji yang dijalankan "pembiakan mamalia bentuk baru", Para penyelidik dari Amerika Syarikat telah menggunakan langkah-langkah di dalam satu siri komplek bagi mengubahsuai "telur jantan" untuk dimasukkan ke dalam rahim tikus betina.

Ibu tikus ini kemudiannya dikacukkan dengan tikus jantan yang normal bagi menghasilkan kandungan atau janin yang terhasil daripada gabungan gen-gen daripada dua ayah, berbeza dengan kejadian semulajadi kandungan yang terhasil daripada kacukan jantan dan betina.

Tikus betina yang mengandungkan 'telur-telur jantan' dari seekor tikus jantan - Ayah A, ini dikacukkan dengan seekor lagi tikus jantan yang lain - Ayah B. Dengan itu anak yang terhasil mewarisi sepenuhnya bahan maklumat genetik dari Ayah A dan Ayah B.

Para penyelidik genetik di sebalik penggunaan teknik pembiakan yang menjadi kontroversi ini mengatakan bahawa teknik ini berpotensi untuk meningkatkan kualiti baka ataupun memelihara species-species yang terancam. Tambah menjadi kontroversi apabila mereka juga mengatakan sekiranya teknik ini boleh dipehalusi lagi, "Satu hari nanti dua orang pasangan lelaki boleh mendapatkan anak-anak daripada baka mereka sendiri".

Bila ilmu dan kebijaksanaan digunakan pada lorong yang salah, nescaya manusia akan cenderung untuk menentang Tuhan!

Sumber: Dailymail
Baca artikel ini >>

Bila ikan menyalahgunakan sirip untuk berjalan


Pengetahuan umum biasanya menjelaskan bahawa sirip ikan berfungsi untuk membolehkan ia berenang di dalam air. Namun ikan di dalam gambar-gambar berikut adalah species yang lain dari yang lain apabila dikatakan oleh penyelidik bahawa ia menyalahgunakan sirip di bawah abdomennya untuk berjalan di dasar laut.


Ikan-ikan ini juga dilihat lebih kerap menggunakan siripnya untuk berjalan berbanding untuk berenang. Ikan-ikan ini kemudiannya dikelaskan di dalam kumpulan species baru ikan bertangan bagi menjelaskan species tertentu dari kumpulan ikan yang memiliki tangan atau lebih tepat menyalahgunakan sirip untuk berjalan dan digelar 'handfish'.


Salah satu daripada species ikan bertangan "handfish" ini juga telah dinobatkan oleh laman sesawang National Geographic sebagai di antara species baru haiwan paling pelik 'weirdest new animal 2010' bagi tahun 2010.
Baca artikel ini >>

Dec 9, 2010

Kupu-kupu yang pandai menipu

Dalam artikel lalu bertajuk Haiwan apa yang selalu menipu haiwan lain? Sengaja aku timbulkan persoalan bagaimana haiwan-haiwan di dalam artikel berkenaan boleh pandai menipu?

Kali ni aku nak kongsi satu cerita kat korang tentang kisah aku kecik-kecik dulu. Suatu hari sedang aku leka melayan kucing aku yang asyik bermain di belakang rumah atuk aku, hinggap seekor kupu-kupu kat sebatang tunggul pokok mati. Aku tengok kucing ni menghampiri kupu-kupu tu macam nak tangkap, mungkin dia nak makan kupu-kupu tu.

Apa yang buat aku heran, kupu-kupu tu tak mahu terbang, sebaliknya dia sekadar kembangkan sayap dia. Tambah menghairankan kucing aku pulak terkejut dan terus melompat dan menyorok kat sebalik semak sambil mengendap.

Tak lama lepas tu kupu-kupu tu pun terbang, dan kucing aku ni gagal menangkap kupu-kupu tu. Dalam hati aku tertanya-tanya kenapa agaknya kucing boleh takut dengan kupu-kupu sedangkan kupu-kupu tu bukannya kuat pun? Sekali tampar je dengan kuku dia tentu kupu-kupu tu dah kalah dan mati kalau kucing tu nak. Di bawah ni kupu-kupu yang aku maksudkan, sebijik macam species ni, dan aku perasan ada corak macam mata kat belakang sayap dia tu.


Tapi bila aku dah masuk sekolah rendah, barulah aku tahu, sebenarnya kucing aku takut dengan corak mata di belakang kupu-kupu tu. Cikgu Sains aku kata, kupu-kupu mempunyai corak seakan-akan mata di belakang sayapnya yang boleh digunakan untuk memperdayakan musuh atau pemangsa. Haiwan pemangsa akan menyangka bahawa kupu-kupu yang lemah ini berbahaya kerana corak mata di belakangnya itu kelihatan menakutkan. Maka kupu-kupu ini menggunakan corak itu sebagai sistem pertahanannya dengan cara memperdayakan mangsanya.

Cis tak padan kecik, kupu-kupu pun pandai menipu! Kucing aku tu harap je besar, tapi kena tipu dengan kupu-kupu he he he. Tapi bila diperhatikan, kepala kupu-kupu tu dengan corak pada kepak dia jauh dan terlindung dari pandangan matanya. Macam mana dia boleh tahu yang kepaknya ada corak yang boleh menakutkan haiwan lain? Adakah dia memusingkan kepala untuk menoleh pada sayapnya dan perhatikan corak pada kepaknya kemudian dia sedar bahawa kepak dia boleh menakutkan haiwan lain?

Atau mungkinkah rakan-rakan dia yang lain yang memberitahunya bahawa corak di kepaknya boleh menakutkan musuh? Adakah kupu-kupu seperti ini akan menghabiskan masa tertentu untuk mengkaji corak apa yang akan menakutkan musuh? Wajarkah kupu-kupu dengan hayat yang pendek ini mengkaji kepaknya sendiri?

Apa yang jelas, kupu-kupu ini menerima dirinya dari awal lagi dan dilengkapi dengan sayap atau kepak yang mempunyai corak tertentu untuk menakutkan musuh. Ia sendiri sebenarnya tidak sedar bahawa ia memiliki corak di sayap yang boleh menakutkan musuh, namun di dalam hatinya memiliki naluri untuk mengembangkan sayapnya di saat merasai bahaya yang mendatang! Hasil dari pengembangan sayapnya itulah ia telah berjaya menipu haiwan lain tanpa disedarinya.

Jelas di sini dapat difikirkan menggunakan logik akal bahawa ada satu Kuasa luar yang mengaturkan semua ini. Bukan manusia, bukan kupu-kupu itu sendiri malah bukan pemangsanya yang mewujudkan corak tersebut. Namun jelas di sini, ada Pengatur yang melukiskan corak pada sayap kupu-kupu ini untuk memberikan sistem pertahanan kepadanya. Siapakah yang melukisnya?

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal [Ali-Imran: 190]
Baca artikel ini >>

Dec 8, 2010

Haiwan apa yang selalu menipu haiwan lain?

Manusia menipu mungkin satu perkara biasa. Bagaimana pula kalau haiwan menipu? Adakah menipu menjadi satu kesalahan di dalam dunia haiwan? Adakah haiwan-haiwan ini menipu dengan niat? Siapa yang ajar mereka menipu?

Inilah yang dipanggil "The Art of deceiption" Seni menipu di dalam alam haiwan untuk menyelamatkan diri. Namun berbeza dengan manusia haiwan biasanya menipu semata - mata untuk menyelamatkan diri dari menjadi mangsa haiwan lain!






Melalui warna dan bentuk yang hampir serupa dengan persekitaran yang didiaminya, segelintir serangga dapat mengelirukan haiwan pemangsa dan juga manusia dari melihat dirinya. Persekitaran semulajadi boleh menjadi tempat persembunyian mereka sekaligus menjadi sistem pertahanan yang meningkatkan daya hidup haiwan-haiwan jenis ini.

Persoalan yang harus dijawab, sejak bilakah haiwan-haiwan ini pandai menipu? Adakah haiwan - haiwan ini menipu dengan niat? Siapa yang mengajar haiwan-haiwan ini menipu? Atau haiwan ini sebenarnya tidak sedar pun bahawa mereka menipu haiwan lain?
Baca artikel ini >>

Arnab paling tua di dunia



Seekor arnab yang diberi nama George (gambar) telah dinobatkan sebagai arnab paling tua di dunia. Arnab yang telah mencapai usia 14 tahun ini berasal dari Tewksbury, Massachusetts, sebuah daerah yang menjadi sebahagian dari negara Amerika. Baru-baru ini George telah dicatatkan di dalam World Guinnes Book of Record sebagai arnab paling tua di dunia kerana kajian mendapati purata umur arnab di dunia hanyalah sekitar 6 hingga 8 tahun.
Baca artikel ini >>

Kenali diri nescaya kamu akan mengenal tuhan!

Saya kira, mungkin pembaca selalu mendengar ungkapan ini, "Kenali dirimu nescaya kamu mengenal tuhan".Ungkapan ringkas ini sebenarnya membawa makna yang sangat besar di dalam kita mengenal tuhan. Di dalam artikel kali ini suka saya mengajak anda berfikir tentang kewujudan tuhan berdasarkan ungkapan di atas.

Di bawah ini beberapa buah kereta lama, kereta-kereta ini saya dapat hasil pencarian di Google. Kalau dilihat pada gambar kereta-kereta ini, logik akal kita boleh menerima bahawa kereta ini direka semasa zaman awal penciptaan kereta oleh adik beradik Ford.



Kereta ini perlu melalui banyak lagi penambah baikkan untuk menjadi kenderaan yang selesa dinaikki oleh pemandu dan penumpangnya. Kita sedia maklum, pereka kereta melakukan penambah baikkan kereta sedikit demi sedikit melalui pengalamannya. Sebagai contoh, suatu masa dulu kereta dicipta tanpa bumbung. Menyedari kepentingan kereta untuk melakukan perjalanan di masa hujan, maka bumbung ditambah, dengan itu pemandu boleh memandu kereta di dalam keadaan hujan tanpa risau bajunya menjadi basah. Begitu juga dengan perihal yang lain-lain.

Di dalam gambar kereta rekaan lama yang dipaparkan memiliki satu kekurangan yang sama pada ketiga-tiga kereta tersebut, namun kekurangan itu sudah diselesaikan dengan penambah baikkan seterusnya tiada lagi kekurangan begitu pada kereta moden hari ini. Apakah kekurangan itu? Perhatikan cermin hadapan ketiga-tiga kereta tersebut. Ya, ketiga-tiganya tiada dilengkapi dengan penyapu air! Bayangkan betapa susahnya pemandu apabila memandu di jalan yang berdebu ataupun dalam cuaca hujan?

Bagi membersihkan debu pada cermin hadapan, mereka terpaksa membawa kain buruk untuk mengelapnya setiap kali cermin tersebut kotor kerana jika tidak, ia akan mengganggu penglihatan pemandu dan boleh mengakibatkan kemalangan. Dalam keadaan hujan yang terlalu lebat pula, pemilik kereta ini tentu sekali tidak dapat melakukan perjalanan kerana walaupun keretanya dilengkapi dengan bumbung dan cermin hadapan, namun air hujan yang turun mencurah-curah di hadapan cermin keretanya akan mengakibatkan pandangannya terganggu dan kemalangan. Maka lebih elok dia berehat sahaja menunggu hujan reda jika sayangkan nyawanya.

Hasil dari pengalaman ini, pereka kereta mencipta penyapu air automatik di hadapan cermin kereta-kereta hari ini. Tidak cukup dengan itu, penyapu air ini juga dilengkapi dengan sistem air pancut untuk menambahkan lagi keberkesanannya di dalam membersihkan kekotoran dan debu yang terlekat pada cermin kereta. Hari ini, dengan hanya memetik suis dari dalam kereta sahaja pemandu kereta sudah boleh membersihkan cermin keretanya agar pandangan ketika memandu tidak terganggu. Malah kita boleh menambah bahan lain seperti sabun dan detergen pada air yang dipancutkan pada cermin kereta, maka kekotoran degil pada cermin kereta lebih mudah ditanggalkan disamping memberikan bahan pemantul cahaya matahari bagi mengurangkan silau ketika memandu dan sebagainya.

Jelas sekali cermin kereta dan sistem pembersihannya dicipta dengan teliti secara berperingkat melalui pengalaman. Sistem pada cermin kereta ini dicipta dan direka untuk menyenangkan pemandunya.

Sedarkah anda? Pada muka anda terdapat satu organ penting memiliki fungsi yang hampir serupa dengan apa yang diceritakan panjang lebar di atas? Apakah organ itu? Ya organ yang dimaksudkan ialah mata anda! Mata anda berfungsi memberikan pandangan yang terbaik untuk anda melakukan perjalanan ke pejabat, sekolah, pasar dan sebagainya. Malah ia juga memiliki penyapu air automatik untuk membersihkan debu-debu kotoran bagi memberikan pandangan yang terbaik untuk anda. Tidak cukup dengan itu, mata anda juga memiliki air pancutnya sendiri bagi membantu membersihkan mata. Terdapat juga bahan tertentu seperti enzyme, lemak, hormone dan lain-lain di dalam air mata untuk membunuh kuman, mencuci mata dan memelihara mata anda.
Jelas sekali mata anda juga dicipta dengan teliti sama seperti cermin hadapan kereta seperti yang diceritakan di atas. Namun mata anda tidak dicipta secara berperingkat, anda menerima mata anda sejak anda dilahirkan lagi. Bukan anda, bukan ibu bapa anda yang memikirkan dan merekacipta sistem pada mata anda bagi memudahkan dan menyenangkan anda. Anda tidak nampak siapa yang mencipta mata dan sistem pemeliharaannya, namun anda sedar ada yang menciptanya. Siapakah DIA itu?

Di dalam artikel ini saya membincangkan tentang mata sebagai objek di dalam kita mengenal diri. Di dalam artikel-artikel yang akan datang, saya akan membicangkan organ-organ yang lain. Semoga ada manfaat didalam menambahkan iman kita kepada kewujudan tuhan. Insya Allah.

Sekian.
Baca artikel ini >>

Dec 6, 2010

Tanda-tanda pada pertukaran siang dan malam

Artikel lalu bertajuk "Tuhan mengajar kita bagaimana mengenali-NYA", telah dijelaskan dengan agak terperinci bagaimana tuhan mengajar kita untuk mengenali-NYA dengan mencari tanda-tanda bukti adanya tuhan, di langit dan bumi, serta pertukaran siang dan malam. Jelas sekali tuhan dah bagi 'hint' bagaimana untuk mencari bukti adanya DIA.

Baiklah dalam artikel kali ini, saya ingin membincangkan tentang tanda-tanda adanya tuhan mengikut 'hint' yang telah diberi. Saya mulakan mengikut hint kedua iaitu pada pertukaran siang dan malam, ini kerana, seperti yang telah dijelaskan pada artikel yang lalu, langit dan bumi pada saya terlalu umum kerana keluasannya tidak terjangka. Namun pencarian tuhan pada langit dan bumi akan tetap saya ulas pada artikel-artikel yang akan datang.

Baiklah, apa kaitan pertukaran siang dan malam dengan tanda-tanda adanya tuhan? Apakah yang membuatkan 'hint' ini diberi untuk mencari tanda-tanda adanya tuhan? Untuk memberikan pemahaman kepada majoriti pembaca blog ini, saya hanya akan menggunakan pengetahuan basic science sekolah rendah supaya semua boleh paham. Rasanya kalau pandai membaca, tentulah anda pernah bersekolah rendah bukan? Tiada sebab anda tak paham artikel ini.

Bagaimanakah pertukaran siang dan malam terjadi?

Semua orang yang pernah belajar pendidikan sains sekolah rendah sudah sedia maklum bahawa perubahan siang dan malam berlaku kerana putaran bumi pada paksinya yang mengambil masa selama 24 jam. Kejadian siang berlaku kerana sebahagian bumi ini menerima cahaya dari matahari (siang) manakala sebahagian lagi terlindung dari sinaran matahari menjadikan ia gelap dan kita panggil ia sebagai malam. Penduduk bumi di bahagian yang menerima cahaya matahari merasai suasana siang manakala yang lain merasai kegelapan malam.

Berikut gambaran putaran bumi pada paksinya,

Pertukaran siang dan malam bergantung pada paksi dan kedudukan dari sinaran matahari

Sebagai pengetahuan pembaca di dalam sistem suria, setakat ini mengikut penemuan saintis, terdapat kira-kira sembilan planet yang berkongsi matahari dengan bumi kita. Terdapat lapan lagi planet lain yang menerima cahaya matahari. Planet-planet ini juga berpusing atau berputar pada paksi-paksi mereka sendiri seperti bumi. (Saya merujuk kepada pengetahuan umum, sekiranya ada penemuan planet baru kenyataan ini bolehlah diubahsuai).



Kejadian siang dan malam sesebuah planet bergantung pada kedudukan paksinya dan kedudukannya menerima sinaran matahari.

Sekiranya paksi tersebut tidak sesuai dengan kedudukannya dengan cahaya matahari, maka pertukaran siang dan malam tidak dapat berlaku. Sebagai contoh, planet Uranus yang terdapat di dalam sistem suria, planet ini mempunyai paksi melintang 98 darjah (gambar bawah). Maka putaran planet ini seperti sebatang kayu yang bergolek.



Ada planet di luar sistem suria kita yang mempunyai paksi seperti Uranus namun kedudukan cahaya matahari menyinari hanya kutub utaranya iaitu bagaikan sebatang kayu bergolek yang menerima cahaya hanya di salah satu hujungnya. Maka kejadian siang dan malam tidak dapat berlaku di planet tersebut. Hanya sebahagian kawasan planet tersebut yang mempunyai waktu siang sepanjang masa, manakala sebahagian lagi malam sahaja sepanjang masa.

Alangkah sengsaranya kalau kita hidup di planet tersebut. Sebahagian planet panas gila sampai boleh terbakar, manakala sebahagian kawasannya yang lain sejuk gila melebihi tahap beku, sampai udara pun boleh berhenti bergerak kerana beku.

Apa yang perlu dilihat, tidak semua planet mengalami kejadian siang dan malam. Kejadian siang dan malam ini sebenarnya bergantung kepada kedudukan paksi planet tersebut. Baru sahaja kita membincangkan tentang planet di sistem suria, yang hanya memiliki sembilan planet, kita sudah bertemu dengan planet-planet yang berbeza keadaan siang dan malamnya. Belum lagi kita menjelajah ke seluruh galaksi malah ke seluruh alam cakerawala yang terbentang luas. Pelbagai lagi jenis paksi akan dapat kita temui.

Kelajuan putaran bumi mengekalkan suhu yang sesuai untuk hidupan

Darjah kecondongan paksi putaran bagi sesuatu planet sebenarnya membawa makna besar untuk memberikan suhu dan suasana yang sesuai untuk dihuni oleh hidupan seperti manusia, haiwan dan tumbuhan. Malah kadar kelajuan putaran bumi juga menentukan sama ada bumi boleh didiami oleh hidupan atau tidak. Lihat sahajalah di bumi ini, bolehkah anda tinggal di kutub utara? Kawasan tersebut terlalu sejuk, hanya boleh didiami oleh makhluk tertentu. Ini kerana kutub Utara kurang menerima cahaya matahari. Syukurlah, kawasan lain masih banyak yang bersuhu sesuai untuk kita diami beramai-ramai.

Kadar perubahan siang dan malam juga memainkan peranan penting untuk membenarkan manusia dan hidupan lain hidup selesa di bumi ini. Ukur lilit bumi adalah kira-kira 40074.1 km maka untuk melakukan putaran yang konsisten bumi bagi menghasilkan siang 12 jam dan malam 12 jam ia harus berputar selaju 40074.1 km / 24 Jam = 1669.75 KM/J, sangat laju bukan? Lebih laju daripada kapal terbang!

Sekiranya kelajuan bumi menjadi perlahan, jangka masa siang malam di bumi akan berubah, kadar penerimaan suhu di bumi juga berubah, maka julat suhu di bumi akan turut berubah. waktu siang, bumi akan menjadi lebih panas kerana menerima terlalu lama cahaya matahari. manakala waktu malam akan menjadi lebih panjang dan suhu bumi akan menjadi terlalu sejuk. Lama kelamaan hidupan akan beransur-ansur mati.

Ini kerana setiap hidupan mempunyai julat suhu tertentu yang terbaik bagi membolehkan ia terus hidup. Contohnya untuk seekor ayam daging membesar secara normal dan terbaik, ia harus hidup di persekitara berjulat suhu antara 25 - 31 darjah celcius. begitu juga haiwan-haiwan lain termasuk manusia dan tumnbuhan.

Lihat sahajalah, bumi yang berputar pada kelajuan yang paling ideal ini juga boleh menyebabkan wujudnya sebahagian kawasan yang terlalu panas untuk hidupan, kerana menerima cahaya matahari yang terlalu banyak pada siang hari, contohnya di gurun-gurun di Timur Tengah dan sebagainya. Apatah lagi kalau bumi bergerak dengan lebih perlahan?

Begitu juga apabila bumi bergerak dengan lebih laju, kadar penerimaan cahaya matahari pula akan berubah. Bumi mengalami kurang penerimaan haba, maka suhu bumi akan menjadi lebih sejuk dan tidak sesuai untuk hidupan.

Secara ringkasnya sebelum saya menamatkan artikel pada kali ini, saya ingin menegaskan di sini bahawa pertukaran siang dan malam menggambarkan satu sistem yang sangat teratur yang tidak boleh silap walau sedikit. Sekiranya paksi bumi mengalami kecondongan yang berbeza, bumi berputar lebih laju atau perlahan, kedudukan matahari dan bumi yang tidak sesuai, hidupan tidak dapat hidup kerana suhu menjadi tidak sesuai. Fenomena keadaan planet-planet selain bumi di luar angkasa sana menunjukkan kepada kita apa akan jadi sekiranya bumi tidak seperti keadaannya yang paling ideal seperti sekarang ini.

Malah sehingga kini, saintis bersusah payah mengesan kewujudan makhluk hidup di dalam berjuta-juta planet lain di angkasa. Hasil kajian mereka masih belum menemui planet yang mempunyai sistem serupa dengan bumi dari segi 4 faktor yang dibincangkan di atas iaitu kecondongan paksi, kedudukan terhadap matahari, dan kelajuan putaran yang sesuai untuk membolehkan makhluk seperti manusia haiwan dan tumbuhan hidup di sana. Dari berjuta-juta planet di angkasa tiada satu pun setakat ini menyamai faktor bumi yang disebut tadi. Hanya bumi yang dilihat memiliki keadaan paling ideal untuk hidupan di angkasa setakat ini.

Yang mana wujud dahulu bumi atau penghuninya? Tantu sekali bumi wujud dahulu, kemudian apabila keadaannya sesuai barulah hidupan dapat hidup di bumi. Maka tentu sekali tiada sesiapa pun di bumi yang menentukan keadaan ideal untuk hidupan di bumi ini. Adakah keadaan ideal ini satu kebetulan? Kalau kebetulan, mengapa berjuta-juta planet di angkasa tidak mengalami kebetulan yang sama seperti bumi? Sekiranya benar ia satu kebetulan, ia adalah satu kebetulan yang sangat ajaib!
Baca artikel ini >>

Dec 2, 2010

Tuhan mengajar kita bagaimana untuk mengenali-NYA

Salam

Di dalam artikel lalu yang bertajuk bagaimana kita mengenal tuhan telah menimbulkan sedikit kekecohan saya kira apabila saya mengajak para pembaca berfikir sebelum saya menulis artikel seterusnya.

Baiklah ini sambungan artikel yang lalu. Anda bayangkan persoalan yang saya timbulkan adalah persoalan yang wujud di dalam hati saya semasa zaman kanak-kanak. Saya pasti bukan saya seorang yang mengalaminya, ramai lagi kanak-kanak lain yang menghadapi perasaan bingung dengan pelajaran yang diterima berkenaan ilmu tauhid itu apabila mereka mempunyai sedikit kecerdasan untuk berfikir.

Adakah kita sebagai orang dewasa tergamak membiarkan mereka yang berfikiran kritikal ini tanpa memberikan jawapan yang mereka kehendaki? Salahkah mereka mengkehendakkan jawapan? Adakah kanak-kanak seperti ini harus disekat daya pemikirannya dengan alasan "mengenal tuhan tidak boleh dengan akal nanti terpesong", "akal manusia tak sampai nak fikir kewujudan tuhan", "jangan fikir banyak nanti sesat ikut sahaja" ajaran siapakah ini? Adakah kita sememangnya disuruh mengikut sahaja sedangkan kita memiliki akal?

Adakah sebarang ayat di dalam Al-Quran yang melarang kita berfikir tentang kewujudan Allah? Bahkan Allah menyuruh kita berfikir tentang kewujudan-NYA. Lihat ayat ini,

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal [Ali-Imran: 190]

Siapakah orang-orang yang berakal di dalam ayat di atas? Bukankah mereka adalah orang yang berfikir menggunakan otaknya? Lihatlah pembaca yang saya muliakan sekalian, di dalam ayat ini Allah mengajar kita bagaimana untuk mengenal-NYA, bagaimana untuk kita menyedari kewujudan-NYA dan bagaimana caranya untuk kita membuktikan adanya Allah.

Bagaimana caranya? Allah menyuruh kita mencari tanda-tanda-NYA. Di mana tanda-tanda itu? Kata Allah ada pada kejadian langit dan bumi serta pertukaran siang dan malam.

Tanda-tanda di langit dan bumi

Siapa boleh tentukan sempadan langit? Berapa luas agaknya langit ini ya? Sehingga ke hari ini, tiada lagi sebarang ilmu lagi yang boleh menentukan keluasan langit dengan tepat kerana langit itu terlalu luas, tiada lagi alat pengukur yang boleh mengukur keluasan langit. Secara asasnya langit itu merujuk kepada luasnya alam ini. Dengan kata lainnya Allah menyuruh kita mencari tanda-tanda (bukti kewujudan-NYA) di seluruh alam ini! (ini merupakan salah satu tafsiran kerana tafsiran Al-Quran itu sangat luas). Carilah tanda-tanda pada semua benda yang ada di langit, baik bintang, matahari, bulan, awan, meteor, planet-planet, Makhluk asing (kalau sudah terbukti ada) dan semua-semualah yang ada di langit tu.

Ini baru galaksi ni langit ni lagi luas terlalu luas, matahari yang besar berpuluh kali ganda bumi pun tak nampak dalam gambar ni (letaklah gambar sikit kalau tak boring pulak macam baca novel haha)

Kedua, Allah menyuruh kita mencari tanda-tanda (bukti kewujudan Allah) di bumi. berapa luas pula bumi ini? Alhamdulillah sudah ada ilmu yang boleh mengukur keluasan bumi iaitu ilmu matematik. Diameter bumi adalah kira-kira 7926.28 batu, maka dengan menganggap bumi sebagai berbentuk bulatan tepat, maka keluasan bumi boleh dihitung dengan rumus pi J kuasa dua (kiralah sendiri). Maka secara asasnya Allah menyuruh kita mencari tanda-tanda (Bukti kewujudan Allah) di seluruh keluasan bumi yang kita duduki ini. Maka carilah pada semua benda yang ada di muka bumi ini, baik kucing, ayam, lelaki, perempuan, ikan, jin, kapal terbang, bom dan semualah yang ada di bumi ini.

Kemudian tuhan menyuruh juga kita mencari bukti kewujudan-NYA (tanda-tanda) di dalam kejadian siang dan malam. Hal ini meliputi ilmu putaran bumi, peredaran matahari, bulan, arah putaran bumi, bentuk bumi, kedudukan paksi dan sebagainya (akan dijelaskan dalam artikel akan datang).

Baiklah saya tangguhkan perbincangan ini setakat ini sahaja korang pun macam dah malas nak baca dah tu, saya akan ulas lebih lanjut bagaimana mengkaji adanya Allah di langit dan bumi, serta pada pertukaran siang dan malam pada artikel akan datang semua sekalilah.

Apa pun jelas di sini Allah menyuruh kita berfikir dan mencari bukti bahawa DIA ada. Malah Allah ajar juga bagaimana cara nak cari yang betul supaya kita tak terpesong, Allah dah bagi 'hint' di dalam Al-Quran. Inilah yang dinamakan berfikir pada lorong yang betul salah masuk lorong touch n go kang haru-biru sebab tak bawak kad. Wallahua'lam

Sekian
Baca artikel ini >>

Bagaimana kita mengenal tuhan?

Buat julung-julung kalinya saya menulis di dalam blog yang baru dibina ini, saya memilih untuk menulis berkenaan topik mengenal tuhan. Saya bukanlah seorang ahli bijak pandai agama, bukan seorang ustaz, malah bukanlah orang yang pakar di dalam perbincangan ini dari segi kelulusan akademik berkaitan, sekiranya sijil dan kelayakkan yang diperlukan untuk membincangkan isu ini.

Namun saya merupakan seorang Muslim, ada iman di hati ini yang membuatkan saya terus menjadi seorang Muslim dan berharap akhir kalam hidup saya nanti di dalam Iman dan Islam, Insya Allah.

Dengan berbekalkan ilmu yang cetek, dan iman yang sedikit inilah saya sampaikan satu kefahaman yang telah menjadi lantaran saya kekal di dalam Iman dan Islam sehingga ke hari ini Alhamdulillah.

Benarkah tuhan itu ada?

Semasa kecil dahulu persoalan ini dijawab oleh guru-guru di sekolah, baik di sekolah kebangsaan (sekolah rendah) mahupun sekolah agama tanpa pernah saya menyoal kepada mereka.

Guru-guru di sekolah memberi tahu bahawa tuhan itu ada, buktinya adanya alam ini! Adanya manusia, ada pokok, ada ayah, ibu, haiwan, bulan, bintang, matahari, planet-planet dan sebagainya. Secara umum adanya alam ini membuktikan bahawa tuhan itu wujud.

Guru-guru memberitahu bahawa setiap benda yang ada di dunia ini tentu ada yang pencipta atau pembuatnya. Buku dibuat oleh pembuat buku, kereta oleh pembuat kereta, baju oleh pembuat baju, makanan oleh pembuat makanan dan seterusnya.

Manakala manusia, pokok, gunung-ganang dan lain-lain pula dicipta oleh tuhan. Itu kata cikgu. Malah cikgu yang mengajar saya masa kecil dahulu mengatakan bahawa dirinya juga dicipta oleh tuhan.

Kalau dilihat kenyataan di atas yang diajarkan oleh cikgu saya, sifirnya mudah, buku, kereta, baju dan makanan yang boleh dilihat dengan mata kepala kita maka bolehlah dikenalpasti pembuat atau penciptanya kerana ia satu fakta yang jelas, nampak di depan mata dan mudah untuk difikirkan. Apabila manusia, pokok, gunung-ganang dan lain-lain yang tidak dapat dilihat pembuatnya, maka guru pun kata semua itu tuhan yang buat. Mudahnya...?

Semua orang tahu buku tentulah pembuat buku yang buat, kereta tentulah pembuat kereta yang hasilkan, begitu juga dengan makanan dan lain-lain benda yang boleh dikenalpasti pembuatnya dengan mata kepala kita. Sebagai contoh seseorang itu boleh melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana badan kereta dipasang, pintu-pintunya dicantumkan, enjinnya dibuat, dan sebelum itu bagaimana bahan-bahan binaannya diproses, diadun dengan tangan-tangan manusia sehinggalah wujudnya sebuah kereta.

Tetapi bagaimana pula dengan benda hidup seperti, manusia, kucing, pokok-pokok dan sebagainya yang tidak dapat dilihat penciptanya dan bagaimana ia dicipta? Apa yang jelas didepan mata kita seekor kucing lahir dari rahim ibunya, membesar perlahan-lahan, ia makan, minum, bermain, beranak sampailah ia tua dan mati atau mati lebih awal kerana kemalangan dan sebagainya. Langsung tidak kelihatan tangan-tangan yang menjadikan kucing ini.

Jadi bagaimana pula guru begitu yakin tuhan yang buat semua itu? Sedangkan guru-guru saya sendiri tidak pernah melihat tuhan memasang tangan, kaki, kepala, jantung dan sebagainya pada seekor kucing. Adakah guru saya sekadar menyampaikan apa yang diajarkan oleh gurunya dahulu?

Di sekolah agama pula, saya belajar ilmu tauhid asas iaitu dalil adanya tuhan ialah adanya alam ini. Persoalannya masih serupa, mengapa kalau adanya alam ini maka tuhan perlu ada? Tidak bolehkah alam ini ada sekiranya tuhan tiada? Adakah perlu ada tuhan barulah alam ini akan ada? Namun kita tahu guru tidak pernah pun melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana alam ini ada kerana adanya tuhan.

Anda para pembaca semua sekiranya ada yang mula merasa bingung jangan bimbang saya tidak ingin menyesatkan anda untuk berpaling daripada mempercayai adanya tuhan. Persoalan begini ditimbulkan sebelum saya memberikan keyakinan yang lebih mantap kepada anda pada artikel selepas ini. Cubalah anda fikirkan dahulu Insya Allah sebentar nanti artikel seterusnya menyusul.

Sekian.
Baca artikel ini >>
test